Menteri KPDN umum berita baik untuk rakyat Malaysia, harga minyak masak kekal tak naik

Menteri KPDN umum berita baik untuk rakyat Malaysia, harga minyak masak kekal tak naik

 

Harga minyak masak tulen kemasan botol bagi kuantiti satu kilogram (kg) hingga lima kg dikekalkan bagi tempoh 8 Januari hingga 7 Februari ini walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia mengalami peningkatan pada Disember lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, minyak masak botol bagi satu kg kekal pada harga RM6.90, dua kg (RM13.30), tiga kg (RM19.60) dan lima kg pada harga RM30.90.

“Penetapan harga ini adalah hasil kerjasama pihak industri minyak masak yang bersetuju untuk mengekalkan harga sebagai usaha bersama untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata, Kerajaan menerusi KPDN menetapkan Harga Runcit Maksimum terkini bagi minyak masak sawit tulen kemasan botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022.

Menurutnya, kawalan harga dilaksanakan ini mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia.

Katanya, mana-mana pihak yang didapati menjual melebihi harga maksimum ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sabit kesalahan bagi individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya.