Menteri Pas bagi jaminan sekali lagi keadilan sewajarnya buat keluarga Adib

Menteri Pas bagi jaminan sekali lagi keadilan sewajarnya buat keluarga Adib

Kerajaan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memberi keadilan buat keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia semasa bertugas ketika berlaku rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dua tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata setakat ini pihak Jabatan Peguam Negara masih menunggu hasil siasatan polis yang difahamkan kini di peringkat akhir, sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.

“Satu inkues telah dibuat di mahkamah, kemudian koroner atau hakim yang mendengar inkues membuat verdict (keputusan) bahawa punca kematian adalah kerana tindakan jenayah oleh dua orang atau lebih, yang tidak diketahui,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) Kedah di Baling, hari ini.

“Itu verdict oleh koroner, jadi menyebabkan pendakwa raya apabila hendak mendakwa seseorang, perlu mengenal pasti pembuat jenayah itu, jadi oleh kerana verdict itu mengatakan orang yang tidak diketahui maka menyebabkan tindakan pendakwaan tidak dapat dibuat.

“…saya difahamkan bahawa Jabatan Peguam Negara meminta pihak polis membuat siasatan lanjut dan saya difahamkan pihak polis turut mencadangkan diadakan inkues baru, tapi setakat ini tiada lagi inkues baru,” katanya.

Takiyuddin berkata demikian semasa mengulas kekecewaan keluarga Muhammad Adib dengan cadangan mengadakan semula inkues kematian anggota bomba itu kerana sudah terlalu lama bersabar menunggu pembelaan terhadap arwah.

 

Allahyarham Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun sama.

Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Sementara itu Takiyuddin berkata, sebuah bangunan baru kompleks mahkamah yang menempatkan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret akan dibina di Sik bagi menggantikan bangunan lama sedia ada yang sudah uzur.

Beliau berkata ia melibatkan peruntukan sekitar RM30 juta, dan pembinaannya akan bermula dalam masa terdekat, dijangka siap pada 2022.

“Bangunan mahkamah di Sik yang dibina dalam tahun 1950-an itu sudah agak uzur, kita telah kenal pasti tanah di Sik seluas 1.2 hektar, dan dengan pembinaan bangunan baru ini kita harap dapat mempercepatkan pengurusan kes di Sik,” katanya.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/555944