Menteri Pertanian perlu segera salurkan Program Bakul Kasih Sayang bantu rakyat, kata Salahuddin

Menteri Pertanian perlu segera salurkan Program Bakul Kasih Sayang bantu rakyat, kata Salahuddin

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu segera menyalurkan bantuan makanan kepada rakyat yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, peruntukan bagi projek yang tidak berkaitan secara langsung dengan kepentingan rakyat dalam jangka masa terdekat harus ditangguhkan.

“Saya menyeru MAFI menyegerakan bantuan kepada golongan rakyat berpendapatan rendah terutama petani, pekebun, pesawah dan penternak yang terjejas akibat Covid-19 dan banjir besar baru-baru ini.

“MAFI boleh membuat kempen bakul makanan yang boleh dipanggil Program Bakul Kasih Sayang yang disasarkan kepada rakyat miskin.

“Saya berpendapat menteri boleh menangguhkan pelbagai projek yang bukan keperluan terdesak pada masa pandemik ini,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, penyelarasan bantuan boleh dilakukan dengan agensi-agensi berkaitan MAFI seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“MAFI boleh kenalpasti agensi seperti Peladang untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka daripada golongan B40 yang benar-benar memerlukan.

“Program bantuan kepada golongan sasaran ini penting bagi meringankan beban ekonomi mereka akibat pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0,” tambah Timbalan Presiden AMANAH itu lagi. – MD

Penyelarasan Program Bakul Kasih Sayang perlu bagi memastikan bantuan sampai kepada rakyat miskin yang benar-benar memerlukan.