Menteri umum berita baik, Menu Rahmah bakal dilaksana di RnR Utara-Selatan

Menteri umum berita baik, Menu Rahmah bakal dilaksana di RnR Utara-Selatan

 

Sambutan menggalakkan terhadap program Menu Rahmah yang menawarkan makanan pada harga RM5 benar-benar dapat dirasai apabila banyak peniaga makanan turut sama menyambut inisiatif baik itu.

Terbaru dilaporkan, pengguna lebuh raya akan turut menerima manfaat sama seleps ia dijangka akan dilaksanakan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dalam masa terdekat.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata cadangan pelaksanaan program yang bakal memberi manfaat kepada pengguna lebuh raya itu, telah dibincangkan pihak PLUS dengan penguesaha gerai makan di R&R.

“Sebagai tanda sokongan kepada program Menu Rahmah yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, saya hari ini mengusulkan kepada pihak PLUS untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“PLUS secara amnya telah bersetuju dengan cadangan ini,” katanya di Facebook.

Catatan itu menyusul pertemuannya dengan 32 syarikat konsesi serta pihak berkepentingan lebuh raya bertol di Malaysia hari ini.

Nanta berkata, perancangan lebih konkrit akan disediakan PLUS berhubung pelaksanaan program itu.

Beliau menyuarakan penghargaan kepada PLUS atas kerjasama yang diberikan dan berharap penyediaan Menu Rahmah di R&R akan memanfaatkan pengguna lebuh raya.