Menteri yang sama, kenapa perlukan 100 hari? – Persatuan Patriot Kebangsaan

Menteri yang sama, kenapa perlukan 100 hari? – Persatuan Patriot Kebangsaan

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menegur tindakan Ismail Sabri Yaakob “menghadiahkan” 100 hari kepada barisan Kabinetnya untuk memperlihatkan prestasi mereka.

Presidennya, Mohamed Arshad Raji, berkata tidak ada keperluan Ismail memberikan ahli kabinetnya tempoh 100 hari itu pada ketika rakyat amat tertekan susulan pelbagai isu kesihatan, sosial dan ekonomi, tidak diselesaikan dan memerlukan perhatian segera.

“Jika kerajaan mengambil sikap acuh tidak acuh dan gagal mendepani isu dalam kadar segera, negara akan dibebani dengan kemungkinan musibah yang lebih buruk.

“Mana-mana kegagalan memulih dan menyelamatkan negara daripada tenggelam mahupun terjunam adalah di atas bahu Ismail sebagai nakhoda negara ini.

“Anda tidak boleh mendapat mahkota dan melepaskan diri daripada bertanggungjawab atas sebarang kegagalan,” katanya dalam kenyataan.

Arshad menggesa kerajaan memperhebat usaha bagi membuktikan pentadbirannya mengutamakan rakyat, sekali gus membolehkan konsep Keluarga Malaysia, yang diangkat oleh Ismail, menjadi realiti.

Mengenai rombongan besar Ismail ketika melawat kawasan dilanda banjir di Kedah, Arshad berkata ia memperlihat sikap tidak sensitif dan bermewah-mewah yang tidak disukai rakyat.

Ia mengecewakan “terutama sekali ketika rakyat merana akibat kehilangan pekerjaan dan menghadapi pelbagai kesulitan dalam menyara keluarga mereka, katanya.

“Kunjungannya ke kawasan dilanda banjir di daerah Yan, Kedah, menggunakan jet eksekutif kerajaan sambil diiringi rombongan ahli politik dikritik meluas dalam sosial media.

“Papan tanda mega didirikan sebagai tanda mengalu-alukan kehadirannya (Ismail) di kawasan krisis tidak membawa apa-apa kebaikan kepada beliau,” katanya.

Sehubungan itu, Arshad berkata, pihaknya bersetuju dengan persepsi kalangan rakyat menyifatkan Kabinet Ismail sebagai “bas lama dipenuhi penumpang sama, yang bertukar hanya pemandu.”

Sumber – FMT