Menunggu hari sebut kes perceraian, Puteri Sarah yakin 100 peratus dilepaskan Syamsul Yusof

Menunggu hari sebut kes perceraian, Puteri Sarah yakin 100 peratus dilepaskan Syamsul Yusof

Hanya tinggal seminggu lagi menuju tarikh sebutan kes permohonan cerai, pelakon Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin meluahkan harapan agar suaminya, Syamsul Yusof dapat melepaskannya dengan cara baik pada 7 Mac ini.

Menurut laporan Gempak, aktres yang berusia 38 tahun itu turut yakin suaminya akan melepaskan dia selepas kemelut rumah tangga antara mereka sebelum ini.

“Anniversary saya 8 Mac tapi dah tak rasa apa-apa, tetapi untuk sebutan kes di mahkamah saya mengharapkan saya dilepaskan, supaya saya boleh move on.
“Serius saya katakan, pada 7 Mac ini saya ingin dilepaskan dengan cara baik, selesai dengan cara yang elok dan boleh hidup dengan haluan masing-masing dan sambung bekerja.
“Kalau tanya saya sejauh mana saya yakin dilepaskan, jawapan saya yakin seratus peratus akan dilepaskan. Saya harap pihak sana cepat-cepat lepaskan saya. Saya sudah tak mahu hidup lama sangat macam ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, pelakon Andai Itu Takdirnya turut memaklumkan dia sudah memberitahu kepada keluarga mentuanya  mengenai keputusan untuk diceraikan oleh suaminya yang juga merupakan seorang pengarah terkenal tanah air.

Jelasnya lagi, walaupun berat untuk keluarga mentuanya menerima, namun dia mengatakan keputusan tersebut tidak akan menganggu hubungan silaturahim antara mereka.

“Apa-apa keputusan saya buat tidak pernah berselindung daripada keluarga mentua saya. Apa sahaja gerak geri saya mesti saya maklum kepada mereka.
“Keputusan saya minta dilepaskan mereka juga sudah sedia maklum. Walaupun agak berat untuk mereka terima tetapi saya beritahu insya-Allah ia tidak akan menjejaskan hubungan kami. Saya masih akan datang melawat mereka di rumah,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Puteri Sarah telah memfailkan cerai terhadap Syamsul Yusof dan tarikh sebutan kes permohonan cerai akan berlangsung pada 7 Mac ini di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Puteri Sarah membuat keputusan sedemikian dengan alasan tidak dapat hidup bersama lagi kerana tiada persefahaman antara mereka.

Sebelum ini, Syamsul Yusof telah membuat pengakuan pada 6 Januari lalu dimana dia sudah berkahwin isteri kedua yang bernama Ira Kazar yang juga merupakan anak kepada pelakon veteren, Kazar Saisi di Thailand.

Sekadar info, Puteri Sarah telah mendirikan rumah tangga bersama pengarah terkenal, Syamsul Yusof pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.