Meski dinafikan, hubungan PKR – Umno memasuki fasa baharu
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata isu kerjasama antara parti itu dan Umno masih di peringkat awal dan boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk.
“Kerjasama ada beberapa bentuk. Ada kerjasama dalam satu gabungan politik yang sama, sama ada Umno masuk PH (Pakatan Harapan) ataupun PKR masuk BN. Itu satu bentuk.
“Yang kedua, kita boleh kerjasama dari segi pengagihan kerusi, electoral pact dan lain-lain. Ada banyak bentuk kerjasama tapi kita belum sampai ke tahap itu.
“Kita cuma tengah test hasrat masing-masing, ada hasrat untuk bekerjasama atau tidak,” kata Chang dalam forum bertajuk ‘Realiti Kerjasama PKR-Umno’, yang dihoskan oleh Sinar Harian dan disiarkan secara langsung di Facebook.
Forum itu itu juga menampilkan ketua penerangan BN Selangor, Isham Jalil dan penganalisis politik Mohammad Tawfik Yaakub sebagai ahli panel.
Chang menyamakan perbincangan ke arah kerjasama politik antara PKR dan Umno dengan kerjasama korporat.
“Dalam korporat ada letter of intent, ada prosesnya, lepas tu MOU kita sign, lepas tu baru ada perjanjian rasmi.
“Kita tak perlu nak jump dengan kata PKR nak kerjasama dengan Umno, Umno nak kerjasama dengan PKR, siapa jadi PM.. Itu semua belum, sebab ini baru initial stage, ini baru peringkat yang sangat awal,” katanya.
“Sekarang kita nak tanya Umno, suka tak suka kerjasama dengan PPBM (Bersatu)? Ha..tak suka.
“Kita tanya adakah model Perikatan Nasional (PN) akan membawa kebaikan kepada negara? Tidak. Kita tanya nak ke tak nak kita menang dalam PRU akan datang? Nak. Maka kita boleh berbincang dengan lanjut,” katanya.
Chang, yang merupakan Ahli Parlimen Tanjung Malim, berkata ruang perlu dibuka bagi para pemimpin parti untuk membincangkan kerjasama berkenaan.
“Negara kita sudah sampai ke satu tahap kita perlukan penjajaran politik baru dan kita perlu perbincangan.
“Kalau kita buat kerjasama politik macam Langkah Sheraton, ia akan bermasalah sebab tak ada perbincangan dan tak ada value yang sama,” katanya yang merujuk krisis politik yang berlaku tahun lalu.
Sementara itu, Isham menegaskan perkara paling penting sebelum bersetuju untuk bekerjasama adalah sama ada kedua-dua parti berkongsi nilai dan perjuangan yang sama.
“Dalam setiap kerjasama, kita kena tanya, apa tujuan kerjasama tu? Semua bermula dengan niat. Kalau kita dalam perjuangan, niat perlu ada. Apa yang kita juangkan?
“Nombor dua, kita kena cari persamaan daripada segi dasar, dan values dan virtues, Kalau kita nak kerjasama tapi tak ada persamaan dari segi values dan vitues, ini susah. Sebab itu awal Langkah Sheraton saya tak tak setuju.
“Salah satu sebab saya kata kerjasama yang berdasarkan oportunistik, tidak akan berjaya, kita akan bertelagah,” katanya.
‘Akar umbi tak setujub Anwar jadi PM’
Katanya, perjuangan Umno bukan untuk menaikkan mana-mana individu termasuk Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
“Perjuangan kita bukan untuk meletakkan sesiapa menjadi perdana menteri.
“Kalau nak kerjasama dengan Umno, saya kata syaratnya Anwar tak boleh jadi PM. Sebab kalau Anwar jadi PM, akar umbi Umno takkan setuju. Sebab tu saya cakap awal-awal sebelum kita bincang cerita lain.
“Kalau benda itu mungkin boleh diselesaikan oleh PKR.. tak taulah apa yang akan berlaku di kemudian hari. Tapi kalau tujuan kerjasama itu semata-mata adalah untuk mengangkat seseorang jadi perdana menteri, maka ia tidak akan berlaku sebab niat itu dah jadi lain.
“Dan kalau kita paksa juga, macam sekarang ada orang paksa kita kerjasama dengan PPBM, tak boleh.. akan jadi pecah undi,” katanya.
Pada 16 Mac, Anwar mendedahkan kerjasama parti itu dengan Umno masih dalam peringkat awal perbincangan dan masih belum diformalkan.
Namun, dia memberi bayangan bahawa ada ahli parlimen Umno menyokong idea kerjasama berkenaan. – MK