Meski sedih dilayan seperti ‘sampah’, PN komited kekalkan pemerintahan Ismail

Meski sedih dilayan seperti ‘sampah’, PN komited kekalkan pemerintahan Ismail

Perikatan Nasional (PN) memberikan komitmen untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob demi kestabilan politik negara, kata Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee yang dilaporkan portal MalaysiaNow.

“Tempoh mandat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan tamat pada Mei tahun depan, jadi sehingga kini kita memberikan komitmen untuk terus menyokong perdana menteri dan kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara berkekalan sehingga PRU yang akan dipanggil (diumumkan),” kata beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi PN.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Laman Padi serta Pelancaran Logo SMART SBB dan Sistem Pengurusan Maklumat Beras (RIMS), Ladang’57 iaitu Beras Wangi Horeca dan 3FR SOP Manual, sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) semalam.

Parti komponen PN dianggotai oleh Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Sementara itu di Kuala Terengganu, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar pula menyifatkan dakwaan yang menyatakan bahawa PN berhasrat menarik balik sokongan kepada kerajaan sebagai pandangan pihak tertentu sahaja.

Menteri Besar Terengganu itu ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Wisma Darul Iman semalam berkata sebaliknya terdapat banyak lagi perkara yang ingin dilaksanakan kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan.