Mesyuarat GRS : Wakil BN-UMNO dan PBS belum nampak muka
Gabungan Rakyat Sabah dijadual mengadakan pertemuan pagi ini bagi membincangkan calon ketua menteri negeri itu.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan berkata demikian ketika ditemui pemberita di sebuah hotel di Kota Kinabalu, yang dijadikan pangkalan bagi Perikatan Nasional (PN).
Ditanya adakah mesyuarat itu juga akan dihadiri oleh BN, Jeffrey berkata “Saya rasa semua orang (akan hadir).
Tambahnya, dalam mesyuarat tersebut GRS akan membincangkan calon ketua menteri yang baru.
Dia juga berkata ketua menteri baru daripada GRS dijangka akan mengangkat sumpah hari ini.
Bagaimanapun, setakat 9.50 pagi, hanya Jeffrey, yang merupakan anggota dewan undangan negeri (Adun) Tambunan dan Adun-adun baru parti itu dilihat berada di ruang menunggu bersebelahan bilik mesyuarat.
Tidak ada tanda-tanda Adun dari BN-Umno dan PBS akan menghadiri mesyuarat itu.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar Pengerusi PN Sabah, Hajiji Noor dicalonkan sebagai ketua menteri sekiranya GRS memenangi pilihan raya negeri (PRN).
Sejurus selepas kemenangan GRS, pemimpin PN mengadakan perjumpaan sesama mereka selama lima jam untuk berbincang, yang dikatakan berkenaan calon ketua menteri negeri bawah bayu itu.
Sumber : Malaysiakini