Mesyuarat MN tangguh, curiga antara Umno-Pas berterusan

Mesyuarat MN tangguh, curiga antara Umno-Pas berterusan

Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN) yang dijadualkan berlangsung minggu ini dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19.

Sumber dalaman Umno berkata, pembatalan itu dibuat selaras dengan keputusan parti menangguhkan mesyuarat agung Umno peringkat bahagian.

“Mesyuarat jawatankuasa induk MN sepatutnya diadakan minggu ini, tetapi ditangguhkan disebabkan peningkatan kes Covid-19.

“Kita juga turut menangguhkan mesyuarat-mesyuarat Umno peringkat bahagian seperti yang diumumkan semalam,” katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan pengesahan lanjut daripada pemimpin Umno dan PAS mengenai pembatalan mesyuarat itu.

Mesyuarat jawatankuasa induk MN kali ini mencuri perhatian selepas pemimpin Umno dan PAS menuntut penjelasan ataupun pendirian parti masing-masing

Ia susulan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa tidak mampu mengawal wakil rakyat parti itu yang ingin mengalih sokongan kepada pemimpin PKR Anwar Ibrahim.

Kenyataan Zahid mengundang respon daripada PAS yang menuntut rakan sekutunya itu supaya menyatakan pendirian berhubung sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Membalas kenyataan PAS yang dikeluarkan Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata mereka juga ingin bertanyakan tentang pendirian rakannya yang kini bersama Perikatan Nasional (PN).

Oleh itu mesyuarat jawatankuasa induk MN menjadi perhatian ramai jika ia berlangsung minggu ini ekoran beberapa kenyataan yang dilihat “memanaskan” hubungan antara dua parti berteraskan Melayu itu.

Sudah pasti dalam pertemuan itu nanti, PAS mahukan pencerahan Umno berhubung pendiriannya terhadap Kerajaan PN.

PAS kini lebih mesra dengan Bersatu

Begitu juga Umno yang mahukan penjelasan PAS berhubung hubungannya dengan Bersatu.

Ini kerana PAS dilihat lebih “mesra” dengan Bersatu jika dibandingkan ketika peringkat awal parti itu bekerjasama dengan Umno.

Pendirian PAS dalam MN pasti akan dituntut Umno memandangkan parti itu dewasa ini lebih cenderung menjaga hubungan dengan PN.

Hala tuju MN yang dibina setahun lalu ini pastinya akan dibincangkan dalam pertemuan itu nanti apabila “auranya” dilihat semakin hilang dan mula ditelan PN.

Bahkan hubungan MN dengan PN juga akan turut dibangkitkan, sejauh mana hubungan yang terjalin itu memberi kelebihan kepada kerjasama itu.

Penyertaan Bersatu dalam MN juga akan menjadi salah satu topik yang bakal disentuh dalam perbincangan itu nanti.

Prestasi parti gabungan MN dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baru berlangsung juga berkemungkinan besar akan turut dibincang.

Sudah pasti perkara pokok yang menjadi keutamaan adalah perbincangan soal agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sumber : Malaysiakini