Mia Sara jawab dakwaan tanggal tudung & berparti – “Saya terima dengan hati terbuka”
Pelakon Mia Sara tampil menjawab dakwaan gosip berparti dan membuka tudung di kelab malam seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Mia atau nama lengkapnya Mia Sara Nasuha, dia menafikan perkara tersebut dan mengaku terkejut apabila mendapat tahu spekulasi tersebut.
Malah, Mia menyerahkan perkara tersebut kepada masyarakat untuk menilai sendiri.
“Zaman sekarang di media sosial. Fitnah atau apa-apa adalah benda yang biasa berlaku. Orang boleh sahaja letak gambar sesuka hati.
“Saya nak cakap, itu bukan saya. Kalau nak percaya, percayalah kalau tak mahu, tidak mengapa.
“Saya sendiri agak terkejut dapat panggilan daripada ramai pihak. Saya pun tak tahu sumber itu daripada mana datang. Saya terima dengan hati yang terbuka.
“Saya cakap lebih-lebih pun, macam saya pula yang salah. Tapi saya rasa terpulanglah. Kalau nak teruskan spekulasi ini atau terus mengecam dan memfitnah, terpulanglah pada anda,” katanya.
Dalam pada itu, bapa Mia iaitu Muhammad Ridhuan turut membuka mulut mengenai dakwaan liar tersebut yang melibatkan anaknya itu.
Tegas Muhammad, dia berharap semua pihak dapat menghentikan menyebarkan spekulasi tersebut dan menghormati bulan Ramadan.
“Benda ini dah berlarutan agak lama, saya bagi dia yang memberi kenyataan tapi lain pula jadinya dan nampak bertambah parah.
“Sekarang ini saya harap ia berakhir di sini sahaja. Gambar dan video tersebut bukan anak saya. Saya tak faham kenapa perlu dikaitkan dengan anak saya.
“Saya harap berhenti sebarkan spekulasi ini, lagi-lagi kita berada dalam bulan Ramadan,” tegasnya.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah klip rakaman yang memaparkan seorang artis wanita berhijab didakwa membuka tudungnya dan berparti di sebuah kelab.