Michelle Yeoh pelakon Asia kelahiran Malaysia pertama menang aktres terbaik Oscar

Michelle Yeoh pelakon Asia kelahiran Malaysia pertama menang aktres terbaik Oscar

Aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, 61, menepati ramalan apabila  diumum Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 .

Memetik laporan dari Berita Harian, beliau merupakan bintang Asia pertama meraih trofi bagi kategori itu dalam sejarah Oscar.

Difahamkan, anak kelahiran Ipoh Perak ini telah menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

“Ini membuktikan impian boleh menjadi kenyataan. Jangan biarkan sesiapa persoalkan kebanggaan kita.
“Saya dedikasikan kepada ibu dan keluarga saya kerana mereka adalah adiwira sebenar. Tanpa mereka saya tiada di sini. Dia menonton sekarang, saya menyayangi kalian,” katanya ketika memberi ucapan setelah menggenggam trofi.

Yeoh telah memenangi anugerah tersebut selepas membawakan watak  Evelyn Quan Wang menerusi filem Everything Everywhere All at Once.

Sebelum ini, Yeoh turut memenangi Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29.