Mila akui lalui pengalaman sukar lepas viral isu cukai LHDN

Mila akui lalui pengalaman sukar lepas viral isu cukai LHDN

 

Isu cukai pendapatan di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang melibatkan penyanyi dan usahawan Mila Jirin telah selesai.

Pengarah Jabatan Khidmat Korporat LHDN Malaysia, Noraini Mustafa, menyatakan bahawa perkara itu telah diselesaikan dengan pihak Mila.

“Untuk makluman, perkara ini sudah diselesaikan dengan baik bersama pembayar cukai berkenaan (Mila),” katanya dalam jawapan balas menerusi kiriman emel kepada Harian Metro.

Sementara itu, Mila, 37, atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin berkata, aduan yang dibuatnya terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Datuk Abu Tariq Jamaluddin, telah mendapat maklum balas segera daripada pihak LHDN Negeri Sembilan.

“Kurang 24 jam selepas saya hantar emel kepada CEO LHDNM pada 9 Mei, saya sudah dihubungi oleh Pengarah LHDN Negeri Sembilan dan memaklumkan proses PKPS saya sudah dijalan segera. Berdasarkan makluman diterima, benar proses PKPS adalah dalam masa 14 hari bekerja dan kelewatan ini adalah disebabkan kekhilafan pegawai yang menguruskan PKPS saya dan suami.

“Saya juga sudah menerima emel balas daripada CEO dan amat berterima kasih di atas perhatian dan tindakan pantas oleh semua pegawai LHDN yang sudah menyelesaikan isu ini. Ketelusan beliau dalam menyelesaikan masalah ini amat saya hargai,” katanya.

Menurutnya, pada 10 Mei isu PKPS yang melibatkan beliau dan suaminya telah diselesaikan.

“Perkara ini juga sudah disahkan oleh ejen cukai kami yang sudah berurusan secara terus dengan cawangan LHDN Negeri Sembilan untuk mendapatkan surat layak PKPS kami berdua.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kami hanya inginkan keadilan dan jaminan kepada kami yang menyertai PKPS agar kesucian program ini tidak dicemari. Semua yang menyertai program ini tidak akan diaudit seperti janji awal.

“Diakui saya alami pengalaman sukar dalam proses program ini, tapi selepas isu saya ini diselesaikan saya berpuas hati dengan tindakan segera daripada pihak LHDN yang diketuai oleh Datuk Abu Tariq Jamaluddin. Saya juga diberi pemurnian maklumat berkenaan program ini secara terperinci khususnya manfaat program ini,” katanya.

Akhbar myMetro melaporkan bahawa Mila berasa tidak adil dengan tindakan LHDN yang terus menghantar notis audit walaupun dia telah mengemukakan permohonan lebih awal.

Dia menyatakan bahawa dia dan suaminya sentiasa bertanggungjawab sebagai warganegara Malaysia dengan membayar cukai pendapatan peribadi serta cukai pendapatan syarikat setiap tahun.