Misbun akhirnya dedah punca ditamatkan kontrak, “Saya dipecat, bukan ditamatkan kontrak”
Jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek menafikan dia bersetuju dengan penamatan kontraknya dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berkuatkuasa pada 28 Julai lalu.
Misbun berkata, kenyataan Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam bahawa dia bersetuju dengan penamatan kontrak itu tidak benar sama sekali kerana keputusan itu tidak dibincangkan secara bersama.
“Saya ingin perbetulkan keadaan bahawa ada pihak yang kata saya bersetuju dengan keputusan yang diberikan, padahal tidak…Saya cuma diberitahu tentang keputusan yang telah mereka buat tanpa saya ada bersama.
“Sebenarnya tidak betul…Saya tidak bersetuju dengan keputusan itu. Sebelum ini saya berada diluar (BAM) dijemput dan dipujuk beberapa kali untuk saya bantu BAM untuk masuk menerusi Tan Sri Norza ( Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria).
“Saya sendiri pergi ke rumah dia (Norza) dan tandatangani kontrak di rumahnya tetapi, dalam situasi ini saya sangat terkilan sebab bukan dia sendiri beritahu saya tetapi Datuk Subra (Timbalan Presiden BAM). Dari sini, saya cuma terkilan.
“Apa salahnya jika mereka bagi saya peluang teruskan hingga ke Kejohanan Dunia. Tinggal beberapa bulan lagi. Tapi saya tak diberi peluang untuk bercakap dan runding.
“Dahulu, saya cuba untuk membantu BAM secara telus dan bersetuju untuk sertai semula demi bandminton negara. Dahulu saya masuk semula BAM sebab Datuk Lee Chong Wei, jaga dia dan selepas itu baru pemain lain,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Sebelum ini, BAM mengumumkan Misbun sekali lagi berpisah dengan badan induk itu dan keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Subramaniam pada Rabu lalu bersama kesemua jurulatih dan pemain skuad remaja negara.
Tambahnya, kenapa hanya dirinya dipersalahkan di atas semua kegagalan Kejohanan Badminton Remaja Asia yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia, padahal beliau hanya bertanggungjawab terhadap pemain perseorangan.
“Kenapa pula saya menjadi sasaran di atas kegagalan keseluruhan pasukan. Walhal saya hanya jaga single (perseorangan).
“Kenapa pula saya jadi sasaran. Beregu pun tak berjaya. Kalau mereka kata modul saya outdated (ketinggalan zaman) tapi saya dah buktikan saya lahirkan tiga pemain nombor satu dunia (Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan Wong Choong Hann).
“Saya guna modul yang sama. Saya rasa terkilan dan kecewa. Sekarang tiada sebarang pembelaan yang saya boleh buat,” katanya pada sidang media, semalam.
Misbun turut meluahkan bahawa tahap keberkesanan programnya seolah-olah dilihat tidak berkesan sebab sering diganggu oleh pihak pengurusan (BAM).
Terdahulu BAM dalam satu sidang media memaklumkan bahawa Misbun, 63 tahun mencapai persetujuan bersama BAM untuk menamatkan kontraknya yang sepatutnya berakhir pada Disember sebagai mengambil tanggungjawab kegagalan skuad badminton negara di Kejohanan Badminton Remaja Asia yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia awal bulan ini.