Misteri matahari bertukar warna biru di Britain akhirnya terjawab
Penduduk di seluruh Britain gempar susulan kemunculan matahari berwarna biru pada pagi Khamis.
Gambar fenomena pelik yang menakjubkan itu turut membanjiri platform X dan menjadi topik perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.
Pelbagai persoalan yang timbul akhirnya menyebabkan beberapa pakar tampil untuk memberikan penjelasan kerana bimbang perkara itu berisiko menyebarkan maklumat salah atau palsu.
Timbalan Ketua Bahagian Ramalan Kaji Cuaca di Pejabat Meteorologi London, Dan Harris memaklumkan keadaan itu disebabkan udara tercemar yang dibawa dari Amerika Utara ke Eropah.
“Udara itu mengandungi asap dicetuskan kebakaran hutan dahsyat di Kanada. Gabungan asap tebal dan awan tinggi boleh meresap cahaya matahari dan menghasilkan anjakan warna luar biasa.
Penyampai cuaca di ITV, Chris Page juga cuba membuat penjelasan menggunakan teori sama.
“Asap kebakaran hutan menuju ke Atlantik dari Amerika Utara kerana Ribut Agnes,” ujarnya.
Selain itu, setiap warna yang dapat dilihat juga mempunyai jarak gelombang berbeza.
“Warna violet mempunyai jarak gelombang paling pendek iaitu kira-kira 380 nanometer manakala merah adalah paling panjang iaitu kira-kira 700 nanometer.
“Semasa ia menuju ke bumi, cahaya matahari secara semula jadi bertaburan melalui zarah di udara seperti habuk dan asap.
“Lebih pendek jarak gelombang, lebih mudah cahaya diserakkan,” jelas Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) dalam satu kenyataan.
Info
Pada 1950, matahari pernah kelihatan berwarna biru di beberapa bandar di Ontario, Kanada kerana Chinchaga Firestorm yang direkodkan sebagai kebakaran hutan terbesar pernah direkodkan di Amerika Utara.