Mizz Nina adakan majlis resepsi di KL bertemakan rona putih

Mizz Nina adakan majlis resepsi di KL bertemakan rona putih

 

Selepas hampir tiga bulan bernikah, penyanyi dan aktivis kemanusiaan Mizz Nina akhirnya melangsungkan majlis resepi bersama pasangannya Essam Muhammad di sebuah acara tertutup malam tadi.

Difahamkan, majlis tersebut diadakan di sebuah ruang acara bertempat di Boathouse Ampang, Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh ahli keluarga serta kenalan rapat.

 

Perkara itu dikongsikan di akaun Instagram seorang jurusolek, Fazz Ariffin yang memaparkan foto hasil tata rias ringkas yang menaikkan seri wajah wanita berusia 43 tahun itu.

Dalam pada itu, Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman tampil kelihatan anggun dalam persalinan berwarna putih hasil rekaan pereka fesyen tempatan Ezzati Amira.

Para tetamu yang hadir tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar ketika pasangan mempelai itu masuk ke dalam dewan menuju ke pelamin.

Sementara itu, salah seorang rakan Mizz Nina iaitu Ili Zuhair Amdan yang hadir di majlis tersebut turut menzahirkan ucapan tahniah serta sempat menitipkan doa agar pasangan itu kekal bahagia hingga ke syurga.

Untuk info, anak kepada tokoh perbankan terkemuka Tan Sri Azman Hashim itu mengejutkan pengikut di Instagram dengan mengumumkan dirinya sudah berkahwin dengan penyanyi rap berasal dari Amerika Syarikat.

Terdahulu, pengasas aplikasi Qalby itu pernah mendirikan rumah tangga bersama vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh pada tahun 2011 namun berpisah secara baik selepas 11 tahun hidup bersama.