Mizz Nina dipuji tak buka aib sesiapa sebelum dan selepas cerai

Mizz Nina dipuji tak buka aib sesiapa sebelum dan selepas cerai

 

Segelintir peminat kagum dengan sikap selebriti, Syazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina yang memilih untuk berdiam diri selepas bercerai dengan penyanyi, Noh Salleh.

Menurut mereka, selebriti berusia 43 tahun itu tidak mendedahkan sebarang isu berhubung rumah tangganya atau membuka aib mana-mana pihak sekali gus disenangi orang ramai.

“Artis yang paling disegani setakat ini dari segala aspek. Itulah Mizz Nina. Setia sebegini la ygan harus dipuji. Sama juga dengan Vanida Imran,” tulis seorang pengikut di laman Instagram milik Mizz Nina.

“Ya setuju. Merendah diri je. Tiada kontroversi. Ada isu rumah tangga pun diam tanpa membuka aib kedua-dua belah pihak. Saya respek,” kata seorang lagi pengikut.

Komen tersebut ditinggalkan menerusi sebuah posting dimuat naik aktivis kemanusiaan dan pengasas aplikasi Qalby itu yang mempromosikan satu jenama telekung di Instagram, baru-baru ini.

Ini kerana sejak akhir-akhir ini, media sosial dipenuhi dengan kisah penceraian golongan artis yang dilihat seperti tiada kesudahan apabila satu demi satu kenyataan dikeluarkan.

Terdahulu, Mizz Nina dan Noh yang juga vokalis kumpulan Hujan mengesahkan mereka sudah bercerai menerusi satu kenyataan di Instagram masing-masing pada 4 Ogos tahun lalu selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga.

Sekadar info, kedua-duanya mempunyai seorang anak angkat bernama Musa disebabkan belum mempunyai rezeki untuk dikurniakan zuriat ketika masih bergelar suami isteri.