“Motosikal vs kereta enjin besar” – Contoh nak mudah faham pentingnya subsidi bersasar

“Motosikal vs kereta enjin besar” – Contoh nak mudah faham pentingnya subsidi bersasar

 

Pelaksanaan subsidi bersasar adalah memastikan faedahnya benar-benar dinikmati oleh majoriti rakyat memerlukan bukannya golongan kaya (T20) yang berkereta enjin besar.

Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Nurhisham Hussein berkata, manfaat subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) selama ini lebih banyak dinikmati T20 berbanding B40.

“Kalau macam kereta saya, isi minyak dalam RM120 setiap minggu. Dalam sebulan, hampir RM500.

“Tapi kalau dalam B40, dia bawa motosikal, RM10 saja (isi petrol) seminggu atau RM40 hingga RM50 sebulan.

“Jadi, subsidi itu selama ini lebih banyak memberi manfaat kepada orang yang berkereta enjinnya besar 40L dan sebagainya, yang makan minyak banyak,” katanya.

Nurhisham berkata demikian menerusi ruangan ‘Cakna Podcast’ bertajuk Penarikan Subsidi Minyak: Rasional & Impak secara langsung di platform Youtube baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa amalan subsidi pukal selama ini paling kurang dinikmati kumpulan B40 yang kebanyakannya menaiki motosikal.

“Subsidi itu lebih kepada orang maha kaya seperti yang PMX selalu sebutkan.

“Kalau kita mahu betul-betul adil kepada rakyat, kena salurkan balik subsidi terutama kepada B40,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau berpendapat langkah rasionalisasi subsidi petrol perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan impak harga terhadap rakyat.

Menurutnya, pelaksanaan rasionalisasi bahan api itu akan memberi kesan besar kepada pelbagai aspek sekali gus membebankan rakyat sekiranya dilakukan secara mendadak.

“Kalau ikut harga sekarang, harga pasaran (jika diapungkan) sepatutnya dalam lingkungan RM3.50. Sekarang ini harga RM2.05 bagi RON95.

“Itu kalau hendak buat sekali gus tetapi kalau ikut amalan terbaik, (lakukan secara) berperingkat. Jangan buat sekali kerana impak dia kepada rakyat memang tinggi.

“Kita tidak mahu bebankan rakyat kerana bukan sahaja dari segi isu harga pam, tetapi juga harga logistik, inflasi dan barang-barang lain,” kata Nurhisham lagi.

Untuk rekod, kerajaan boleh menjimatkan sebanyak RM15 bilion hingga RM17 billion sekiranya golongan kaya (T20) tidak lagi menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat tahun lalu memaklumkan, sebanyak 35 peratus golongan T20 menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dengan nilai RM17.8 bilion pada 2022.

Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 24 peratus golongan B40 memanfaatkan subsidi bahan api tersebut manakala M40 membabitkan 41 peratus.