MOU kerajaan – PH, penganalisa dedah Ismail berjaya cabut taring pembangkang

MOU kerajaan – PH, penganalisa dedah Ismail berjaya cabut taring pembangkang


Penganalisis berkata, Malaysia tidak akan mempunyai pembangkang yang efektif lagi, susulan keputusan Pakatan Harapan (PH) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menjalin kerjasama politik dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura mengkritik MoU reformasi PH dengan kerajaan sebagai jenama politik Malaysia yang memudaratkan kerana pembangkang “melemahkan” diri secara efektif.

“Jadi, sekarang kita sebenarnya tiada pembangkang yang efektif lagi. Seluruh negara akan bersatu mengelilingi kerajaan ini, pembangkang perlu berenang atau tenggelam bersama kerajaan ini,” katanya kepada FMT.

“Jika kerajaan ini gagal dalam usahanya memerangi pandemik dan memulihkan ekonomi, pembangkang juga perlu dipersalahkan bersama kerajaan.

“Kita sedang melihat kehilangan pembangkang di Malaysia. Ia sangat memudaratkan perkembangan demokrasi berparlimen, bukan sahaja di Malaysia, tetapi dalam sistem Westminster lain juga. Kita menjadi contoh sangat buruk kepada yang lain.”

Oh dan bekas ahli akademik, Azmi Hassan meramalkan hasil segera daripada perjanjian itu ialah pembangkang tidak akan menggesa Perdana Menteri membuktikan keabsahannya melalui undi percaya di Dewan Rakyat lagi.

Azmi berkata, Ismail perlu melaksanakan cadangan reformasi yang beliau tawarkan kepada pembangkang.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik kompromi politik antara kedua-dua blok itu kerana ia akan memberi ruang kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang memfokuskan perbincangan ke atas isu yang benar-benar penting kepada rakyat.

“Tiada lagi isu sama ada Perdana Menteri mempunyai majoriti. Mereka boleh melupakannya dengan perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) ini.

“Ketika ini, kita memerlukan kerajaan dan pembangkang bekerjasama.

“Tetapi, ini tidak bermakna pembangkang menyokong kerajaan. Mereka hanya memberikan sokongan untuk rang undang-undang penting seperti belanjawan,” katanya kepada FMT.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, perjanjian itu akan membolehkan tumpuan diberikan ke atas usaha memerangi Covid-19 tanpa gangguan ketidakstabilan politik.

Katanya, pemimpin PH masih boleh bersuara, dengan memberi kritikan membina bagi memastikan tadbir urus lebih baik dalam negara.

“Ini bukan hanya memanfaatkan kerajaan Ismail dari segi kestabilan politik, tetapi juga PH yang akan mendapat keadilan dari segi peruntukan dana yang sekian lama diketepikan kerajaan terdahulu,” katanya sambil menambah ini hanya akan menguntungkan rakyat.

Beliau berkata, MoU itu membawa landskap politik baharu kepada negara selepas lebih 60 tahun dan reformasi akhirnya boleh berlaku di peringkat institusi serta Parlimen dengan ketelusan dan keterbukaan.

Kerajaan pimpinan Ismail dan PH menempa sejarah dengan memuktamadkan satu MoU ke arah memulihkan kestabilan politik demi mengatasi kemelut ekonomi dan kesihatan akibat pandemik Covid-19.

Kedua-dua pihak akan menandatangani MoU itu di Parlimen esok, dengan butirannya akan didedahkan kepada rakyat.

Sumber – FMT