MP Dap cadang wujudkan Perjanjian Moratorium Covid-19 (CMA) sesama MP

MP Dap cadang wujudkan Perjanjian Moratorium Covid-19 (CMA) sesama MP

Seorang Ahli Parlimen DAP merayu semua wakil rakyat baik pembangkang atau kerajaan bekerjasama menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Ong Kian Ming (PH-Bangi) berkata, ketika ini bukan masa untuk mengkritik mana-mana pihak, sebaliknya semua wakil rakyat tanpa mengira parti perlu berganding bahu supaya negara memiliki hala tuju jelas untuk keluar daripada belenggu Covid-19.

“Saya ingin memulakan dengan rayuan kepada semua YB dalam dan di luar Dewan ini kerana saya merasakan kita berada di saat genting.

“Apa yang kita perlukan sekarang untuk mengadakan semangat bekerjasama rentas parti, di antara penyokong kerajaan dan wakil rakyat pembangkang.

“Ini bukan bermaksud kami tidak berperanan sebagai semak imbang kepada kerajaan sedia ada. Tapi kita perlu ada juga penyelesaian terhadap wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya diwujudkan perjanjian moratorium Covid-19 dalam kalangan semua wakil rakyat supaya negara mampu memiliki hala tuju dan perancangan mendepani pandemik yang lebih jelas.

“Cadangan saya, wujudkan Covid Moratorium Agreement (CMA). Semua berganding bahu bekerjasama sebagai ‘frontliners’ untuk kawal Covid dan pulihkan ekonomi.

“Ini adalah suatu yang pemimpin di sini boleh cadangkan dan bincang supaya boleh tunjuk pada rakyat yang kita ada hala tuju keluar daripada wabak Covid dengan berganding bahu. Selepas enam bulan pemimpin kita boleh lawan dalam pilihan raya umum ke-15. Tapi untuk sekarang kita kena bekerjasama,” katanya.

Katanya, keadaan luar biasa yang dihadapi negara ini memerlukan pemimpin yang luar biasa membabitkan semua wakil rakyat.

“Jika kita nak mengkritik, memang senang malah rakyat di luar boleh menyuarakan kritikan yang lebih hebat berbanding kita di sini.

“Benar kita boleh bersaing pada pilihan raya umum nanti tetapi buat masa ini, kita perlu bekerjasama, berganding bahu. Kita jaga kita, kita memelihara hidup rakyat,” katanya.

Beliau mengakui, walaupun sukar untuk bekerjasama antara kerajaan dan pembangkang, namun ia perlu bagi mengatasi masalah lebih kritikal membabitkan penularan wabak Covid-19.

“Saya tahu nak bekerjasama itu susah kerana pihak di sebelah sini termasuk saya juga ada rasa perasaan macam kena dikhianati oleh pemimpin di sebelah sana. Saya rasa tuan Speaker pun tahu apa yang kami rasa sekarang.

“Tapi oleh kerana ada satu krisis yang begitu teruk di Malaysia, ini adalah hala tuju yang perlu dibuat,” katanya.

Sumber – FMT