MP Jelutong usul Tiong minta maaf kepada Noor Hisham di Dewan Rakyat
Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing harus mengulangi permohonan maafnya kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di Dewan Rakyat, kata Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer.
Pada akhir Waktu Pertanyaan pagi ini, Rayer berkata, dia telah memfailkan usul bertulis yang memohon speaker mengarahkan Tiong supaya meminta maaf di Dewan Rakyat, sambil menyifatkan kenyataannya sebelum ini sebagai “tidak ikhlas”.
Rayer, diarahkan keluar dari Dewan Rakyat setelah bertikaman lidah dengan Tiong, susulan kenyataan wakil Bintulu itu yang menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah “takut mati” kerana tidak hadir sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak Covid-19 di negeri berkenaan.
Dia juga menuntut Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun supaya menarik balik perintah penggantungan lima hari terhadap Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng kerana isu yang sama.
Pada 15 November lalu, Tiong memohon maaf dengan berkata, tindakannya itu bagi memastikan “perjalanan sidang Dewan Rakyat lancar”.
“Permohonan maafnya tidak ikhlas kerana kenyataannya (terhadap Noor Hisham) dibuat di sini (di Dewan Rakyat).
“Kedua, memandangkan dia telah meminta maaf, ini bermaksud bahawa keputusan timbalan speaker mengarahkan saya keluar adalah kurang bijak,” kata Rayer.
Sumber: Malaysiakini