MP Tuaran dedah bajet RM85.5 juta Jasa adalah untuk cybertrooper dan kroni

MP Tuaran dedah bajet RM85.5 juta Jasa adalah untuk cybertrooper dan kroni

Ahli Parlimen Tuaran dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau mendesak agar separuh daripada peruntukan RM85.5 juta kepada unit propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dalam Belanjawan 2021 dipindahkan untuk pembangunan Sabah.

“Separuh daripadanya, RM42.25 juta, perlu diperuntukkan untuk Sabah manakala separuh lagi boleh disalurkan ke negeri dan sektor lain.

“Upko tidak dapat menyokong belanjawan berjumlah RM85.5 juta – kira-kira RM3 bagi setiap rakyat Malaysia – untuk laskar siber dan kroni apabila pesakit, petugas barisan hadapan, keluarga dan perniagaan dinafikan lebih banyak bantuan.

“Sabah berhak mendapat tambahan RM42.25 juta kerana kami adalah negeri yang paling teruk dilanda Covid-19 – dalam bahaya menjadi seperti Wuhan dan/ atau Milan bagi Malaysia – kerana kemasukan pendatang tanpa izin di sempadannya yang poros.

“Keadaan kami hari ini adalah bukti peminggiran Sabah di dalam Malaysia setelah 57 tahun,” kata Madius (gambar, bawah) pada satu kenyataan hari ini.

 

Tidak ada parti atau ahli parlimen yang mempunyai hati nurani dapat menyokong peruntukan RM85.5 juta untuk memberi keuntungan kepada pasukan laskar siber dan kroni, bukannya rakyat Malaysia yang memerangi wabak Covid-19 dan berjuang untuk mencari nafkah hidup dengan jujur, katanya.

Oleh demikian, presiden Upko itu berkata ahli parlimen partinya akan menentang belanjawan atau mengemukakan usul untuk mengubahnya pada tahap jawatankuasa jika Perdana Menteri Muhyiddin berkeras untuk meneruskan belanjawan “cacat” itu tanpa pindaan.

Madius juga berkata Upko akan mengadakan mesyuarat townhall mengenai Belanjawan 2021 pada 15 November jam 1 tengah hari melalui sidang dalam talian, yang akan disiarkan secara langsung dari laman Facebook Upko.

Memandangkan rakyat Sabah ialah “bos” mereka, Madius berkata Upko akan meminta input daripada orang Sabah mengenai program dan tujuan apa yang perlu diperuntukkan dengan peruntukan sebanyak RM42.25 juta.

Jasa dimansuhkan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan. Semasa zaman BN, Jasa mendapat peruntukan tahunan antara RM21 juta hingga RM22 juta dari 2011 ke 2018.

Peruntukan RM85.5 juta untuk menghidupkan kembali Jasa itu telah mencetuskan kemarahan di Dewan Rakyat dan di kalangan rakyat biasa dengan reputasinya sebagai alat pemerintah yang digunakan untuk memperkuat kawalan politik BN ketika gabungan itu berkuasa dahulu.

Bagaimanapun, antara pengkritik peruntukan itu termasuklah bekas perdana menteri Najib Razak yang bertegas kenaikan peruntukan empat kali ganda untuk Jasa “tidak dapat diterima” dan akan mengundang kemarahan rakyat.

Sumber: Malaysiakini