Muhyiddin bengang Ismail elakkan diri bincang kedudukan pengganti Zuraida

Muhyiddin bengang Ismail elakkan diri bincang kedudukan pengganti Zuraida

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, berkata beliau sudah menunggu “terlalu” lama untuk temu janji berjumpa perdana menteri berhubung kedudukan Zuraida Kamaruddin sebagai menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

“Saya tunggu tarikh untuk bertemu perdana menteri.

“Saya fikir sudah lebih dua minggu dan terlalu panjang untuk saya tunggu. Sewajarnya perkara itu diputuskan segera oleh perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob),” katanya, seperti dilaporkan portal FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Zuraida yang masih dalam Jemaah Menteri walaupun keluar Bersatu, bulan lalu.

Zuraida dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri, pada 27 Ogos 2021, ketika bersama Bersatu sebelum keluar parti itu, pada 26 Mei, untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), awal bulan ini.

Pimpinan Bersatu mahu Ismail Sabri Yaakob menggugurkan Zuraida sebagai menteri dan jawatan itu diberikan kepada calon lain daripada Bersatu.

Ismail sebelum ini, berkata Zuraida kekal dalam jemaah menteri buat masa ini dan keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas beliau berjumpanya.

Ahad lalu, Zuraida berkata, beliau berharap untuk dikekalkan dalam kabinet pimpinan Ismail demi menyelesaikan segala program kementeriannya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berharap isu jawatan Zuraida dalam Jemaah Menteri diselesaikan dengan segera.

Beliau berkata, terpulang sekiranya Zuraida mahu berharap dapat kekal dalam jawatannya itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, Bersatu mahukan kembali kuota menteri itu diganti dengan pemimpin lain dalam parti.

“Itu dia punya haraplah…Tetapi soal pokoknya perdana menteri kena buat keputusan.

“Dia nak lantik Zuraida jadi apa pun itu hak dia. Tetapi kuota Bersatu itu dia tidak boleh ambil,” katanya.