Muhyiddin berjaya jinakkan Hadi guna logo PN PRU15 nanti

Muhyiddin berjaya jinakkan Hadi guna logo PN PRU15 nanti

Muhyiddin Yassin berkata Bersatu dan PAS membuat keputusan akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Perkara ini turut dipersetujui oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan ia boleh disahkan oleh kepimpinan PAS. Sebagai contoh di Johor, parti yang bertanding bukan Bersatu sahaja sebaliknya PAS juga,” kata pengerusi PN itu seperti dilaporkan portal FMT.

“Itu keputusan saya terima dan saya fikir keputusan itu masih kekal sehingga kini. Bagaimanapun, dari segi agihan kerusi ia belum diputuskan lagi,” katanya.

Beliau turut mengakui ada beberapa parti yang cuba “mengetuk pintu” untuk menyertai PN, namun pihaknya berhati-hati untuk menerima.

Terdahulu, Muhyiddin merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Pelancaran Jentera PN Peringkat Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi PN Kelantan Ahmad Yakob yang juga menteri besar.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan timbalan perdana menteri.

Beliau yang juga presiden Bersatu berkata pertemuan itu telah diadakan beberapa hari lalu supaya perjanjian PN dengan perdana menteri sebelum ini, dapat dipertimbangkan.

“Saya telah berjumpa dengan perdana menteri beberapa hari yang lepas, di mana saya telah mengutarakan beberapa perkara penting termasuk soal pelantikan dalam kerajaan, bukan sahaja mengisi kekosongan tetapi termasuk pelantikan-pelantikan baharu.

“Kita tidak minta lebih daripada (perjanjian) itu tetapi hanya soal pelantikan timbalan perdana menteri dan menteri, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun serta peruntukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin, yang mengumumkan keluar Bersatu pada 26 Mei lepas untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia.