Muhyiddin berlengah hukum MP Kuala Kangsar elak konflik dalaman parti makin parah

Nasib Ahli Parlimen Kuala Kangsar daripada BERSATU, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, yang menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan akan ditentukan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti berkenaan pada Khamis ini.
Memetik Berita Harian, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mesyuarat itu akan membincangkan tindakan disiplin terhadap Iskandar Dzulkarnain susulan kenyataannya yang melanggar peraturan dan disiplin parti.
Beliau berkata, walaupun parti sedang sibuk mengadakan pemilihan namun pihaknya sudah mengarahkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menetapkan mesyuarat terbabit.
“Tapi ini ada kaitan dengan soal disiplin parti dan kalau begitu, kita akan minta lembaga disiplin mengambil tindakan mengikut peraturan.
“(Lembaga disiplin) kena hantar surat tunjuk sebab, kita akan bincang…kalau dia hantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen itu, minta dia jelaskan kenapakah tindakan tidak boleh diambil terhadapnya.
“Lembaga disiplin kena jawablah…kemudian akan teliti dan selepas itu, MPT akan buat keputusan,” katanya selepas merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Pagoh di Felda Batu 27 Lenga, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pagoh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal serta pucuk kepimpinan bahagian terbabit.
Minggu lalu, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
Susulan kenyataan itu, Hamzah Zainuddin memaklumkan suatu mesyuarat akan diadakan dalam beberapa hari lagi untuk membincangkan perkara itu, sekali gus memutuskan tindakan selanjutnya ke atas Iskandar Dzulkarnain.
Sebelum ini, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang, dalam satu kenyataan mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan berbuat demikian, akan didakwa atas kesalahan rasuah.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata perlembagaan parti itu menyebut beberapa perkara berkenaan, tindakan perlu diambil sekiranya seseorang ahli melanggar atau bercanggah peraturan.
Katanya, satu daripadanya ialah seseorang ahli akan diberi amaran, selain digantung jawatan, manakala tindakan terakhir adalah dipecat daripada parti.
“Saya tidak boleh ramalkan sekarang, apa hukuman yang parti sepatutnya pertimbangkan ‘berat’ kes itu namun terserah kepada lembaga disiplin,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin juga mengesahkan sudah memanggil 30 daripada keseluruhan 31 Ahli Parlimen parti itu susulan kenyataan wakil rakyat Kuala Kangsar yang menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, dalam pertemuan itu semua 30 Ahli Parlimen kecuali Kuala Kangsar menyatakan ikrar untuk kekal istiqamah bersama dan juga menyokong Perikatan Nasional (PN).