Muhyiddin cabul demokrasi, tapi ucap tahniah kepada pemenang demokrasi

Muhyiddin cabul demokrasi, tapi ucap tahniah kepada pemenang demokrasi

Malaysia berharap dapat memperkukuhkan lagi kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) di bawah kepimpinan Joe Biden yang baru sahaja memenangi pilihan raya presiden negara itu, ketika masyarakat dunia sedang bergelut menangani pelbagai cabaran termasuk Covid-19.

Dalam ucapan tahniah kepada Biden, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut berharap presiden baru AS itu akan merekodkan kejayaan besar sepanjang menerajui Rumah Putih.

Sambil menyatakan harapan dapat bertemu Biden secara peribadi apabila ada peluang, Muhyiddin berkata Malaysia mengikuti secara rapat perkembangan proses Pilihan Raya Presiden AS 2020 itu.

“Rakyat Amerika telah membuat keputusan memilih Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46 berdasarkan kepimpinan dan wawasannya.

“Sebagai sebuah negara membangun yang sedang pesat berkembang, Malaysia memberi penekanan terhadap hubungan dua halanya dengan AS. Perkongsian Komprehensif AS-Malaysia akan terus berperanan sebagai kerangka utama bagi kerjasama proaktif, pelbagai aspek dan saling menguntungkan di antara kedua-dua negara,” kata Muhyiddin dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan AP, Biden yang mewakili Parti Demokratik merampas Rumah Putih daripada Donald Trump selepas menguasai 290 perwakilan sekalipun 3 negeri iaitu Georgia, North Carolina dan Alaska masih belum mengumumkan keputusan rasmi selepas beberapa hari pilihan raya berlangsung pada Selasa.

Seseorang calon Presiden AS memerlukan 270 undi elektoral untuk memenangi pilihan raya presiden negara itu.

Sumber: Free Malaysia Today