Muhyiddin didakwa 4 tuduhan guna kedudukan untuk rasuah RM232.5 juta & 2 kesalahan pengubahan wang haram RM195 juta

Muhyiddin didakwa 4 tuduhan guna kedudukan untuk rasuah RM232.5 juta & 2 kesalahan pengubahan wang haram RM195 juta

 

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas enam pertuduhan, iaitu membabitkan empat menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan (PN) dan bekas Perdana Menteri.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri dan Presiden BERSATU menggunakan kedudukan untuk suapan iaitu wang RM200 juta, RM1 juta, RM19.5 juta dan RM12 juta untuk partinya daripada tiga syarikat serta seorang individu.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntuk hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Muhyiddin juga didakwa sebagai Presiden BERSATU menerima RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mnegikut Seksyen 4(1) akta sama.

Hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Berita lanjut menyusul