Muhyiddin didesak buka segera parlimen elak lebih ramai rakyat ditangkap sebar berita palsu

Muhyiddin didesak buka segera parlimen elak lebih ramai rakyat ditangkap sebar berita palsu

Polis menahan seorang pengguna media sosial ekoran ciapannya mengenai peruntukan kerajaan bernilai RM70 juta untuk membangunkan sistem program vaksinasi Covid-19 yang didakwa sebagai berita palsu.

Peguam Rajsurian Pillai berkata lelaki berusia 36 tahun itu – yang menggunakan nama @ChairmanGLC di Twitter – ditahan di Balai Polis Kota Damansara.

Katanya polis menyerbu rumah lelaki berkenaan dan merampas beberapa peranti elektronik termasuk seunit telefon genggam, model dan router. Dia juga diarah menyerahkan kata kunci kepada akaun Twitternya.

Menurut Rajsurian lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dan diremah sehari. Dia dijangka dibebaskan lewat petang ini.

“Lelaki terbabit dibawa ke hadapan majistret S Mageswary pagi ini. Polis memohon untuk menahan reman selama empat hari atas alasan mahu menjalankan siasatan, merakam keterangan dan mengambil cap jari serta gambar suspek.

“Bagaimanapun kami berhujah, dia tidak berisiko untuk melarikan diri dan tidak akan campur tangan dalam siasatan.

“Justeru majistret membenarkan dia direman sehari,” katanya.

Selain Rajsurian turut mewakili lelaki terbabit ialah seorang lagi peguam, Adly Zulfadhly.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

“Mereka hanya menggunakan lokap Dang Wangi untuk menahan suspek,” katanya kepada media pagi tadi.

Menurut Rajsurian bapa kepada empat anak itu disiasat ekoran laporan polis dibuat Badan Bertindak Imuniasi Covid-19 (CITF) berhubung ciapannya mengenai dana bernilai RM70 juta untuk membiayai sistem mengendalikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sebaliknya suspek mendakwa dana berkenaan digunakan untuk menguruskan vaksin AstraZeneca.

Difahamkan ciapan berkenaan dibuat pada 29 Mei lalu.

Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/577748?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR1A7XCJb4iRKTBuW4osxFbrCNX2FfFHWRkJ0a21eqRIhfvIf3dlXjASAtw