Muhyiddin gelisah semakin ramai pimpinan Bersatu Johor keluar parti
Ketua Bahagian Bersatu Mersing Laili Yusof, hari ini, mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar parti itu, berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas membuat pertimbangan sewajarnya selain mendakwa parti berkenaan tiada hala tuju.
“Walaupun keputusan ini mungkin agak terburu-buru menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor, sejujurnya saya telah hilang kepercayaan kepada Bersatu yang lari daripada prinsip asal parti.
“Bagi kami, Bersatu tiada hala tuju yang kukuh… kami rasakan penyertaan dan perjuangan kami selama ini hanya sia-sia dan menguntungkan pihak tertentu sahaja,” katanya di sebuah restoran di Endau, hari ini, seperti dilaporkan portal FMT.
Turut hadir pada majlis ringkas itu bekas Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden Umno Zahid Hamidi, serta calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Endau, Youzaimi Yusof.
Laili juga berkata, keputusan itu diharap akan menjadi ikhtibar buat rakan lain dalam Bersatu, terutama di Johor.
“Dengan ini, saya juga ingin menyatakan hasrat untuk kembali ke landasan asal (Umno), sekali gus memberikan sokongan penuh kepada semua calon BN pada PRN Johor yang berlangsung Sabtu depan,” katanya.