Muhyiddin guna kedudukan kempen PRN Sabah, beri gula-gula Pilihan Raya bersama calon PN

Muhyiddin guna kedudukan kempen PRN Sabah, beri gula-gula Pilihan Raya bersama calon PN

Cek replika untuk bantuan lebih RM60 juta disampaikan dalam majlis kerajaan persekutuan di Beaufort hari ini yang menampilkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertanian Ronald Kiandee, dan calon DUN Klias Perikatan Nasional (PN), Isnin Aliasnih.

Ini termasuk lebih daripada RM20 juta bantuan untuk petani dan nelayan yang diumumkan oleh Muhyiddin hari ini.

Antara cek replika yang disampaikan ialah dana bantuan khas RM41.1 juta untuk pembiayaan mikro dan komersial bagi usahawan pertanian.

Cek replika itu mempunyai logo Agrobank dan kerajaan Malaysia.

Satu lagi cek replika yang disampaikan adalah bagi bantuan wang sara hidup nelayan bernilai RM21.1 juta.

Muhyiddin berkata bantuan itu akan memberi manfaat kepada 7,581 individu.

Terdapat juga cek replika untuk sumbangan zakat sebanyak RM340,000 dari Pertubuhan Peladang Nasional (Nafas) yang akan memberi manfaat kepada 1,700 penerima.

Kunci replika untuk kenderaan pacuan empat roda juga disampaikan sebagai sebahagian daripada program logistik makanan dengan peruntukan RM860,000.

Dalam ucapannya di majlis itu, Muhyiddin juga mengumumkan bantuan baru lain untuk nelayan dan petani, termasuk insentif RM1.73 juta untuk petani ternakan, pemberian RM2.94 juta untuk agropreneur muda, insentif RM556,000 untuk industri kopi.

Selain itu, kata perdana menteri, kerajaan PN telah memperuntukkan RM40.34 juta untuk subsidi baja dan racun perosak di Sabah dan Sarawak.

Malaysiakini diberitahu bahawa bantuan ini dikembalikan tahun ini, setelah pembiayaan dihentikan pada 2019.

Muhyiddin juga menyebutkan bahawa kerajaan melalui Agrobank, telah memperuntukkan RM350 juta untuk industri makanan agro, termasuk RM38.7 juta untuk perusahaan kecil dan sederhana di Sabah.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga memperuntukkan RM37.7 juta untuk program perumahan nelayan yang akan memberi manfaat kepada 1,649 warga Sabah.

Selain itu, Muhyiddin juga mengumumkan bahawa Dana Peladang Nasional di bawah Nafas akan mendapat dividen 8.1 peratus untuk 2019, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM7.7 juta.

Dia juga mengumumkan bahawa wang sara hidup nelayan dinaikkan dari RM250 menjadi RM300.

“Saya berharap insentif, elaun dan geran yang diumumkan akan membantu meringankan beban pekerja pertanian dan mendorong mereka untuk terus berada di sektor pertanian,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin juga mengulangi seruannya agar rakyat Sabah memilih parti yang sama yang memegang kuasa di Putrajaya.

Walaupun kerajaan persekutuan akan menolong semua negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Muhyiddin berkata kerajaan negeri yang ditadbir parti sama dengan kerajaan persekutuan cenderung untuk menerima lebih banyak.

“Saya tidak menafikan sahabat saya (Presiden Warisan) Shafie Apdal, yang memimpin Warisan dan kerajaan negeri boleh laksanakan, tetapi kalau tidak ada gandingan antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan yang sama dalam PN, boleh buat dan terbatas.

“Mana lebih baik? sokong PN atau Warisan? katanya.

“Shafie kata macam mana pun kerajaan pusat mesti bantu negeri. Ya bantu, bantu setakat apa yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

“(Kalau nak terima) Lebih sikit mesti daripada kerajaan yang sama, satu hati dan satu jiwa barulah kita boleh kerja dengan lebih rapat. Ini logik,” katanya.

Sumber : Malaysiakini