Muhyiddin ingatkan Istana jangan campur tangan
Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri pada tahun lalu berharap, Istana Johor tidak bertindak sehingga dilihat mencampuri urus tadbir kerajaan.
Beliau yang menghormati pandangan yang dikeluarkan Istana Johor berkata, kerajaan sebaik mungkin akan pastikan segala keputusan yang dibuat adalah untuk kebaikan rakyat.
“Sebab itu kita harap dalam soal-soal sebegini, boleh beri pandangan, tetapi tidak sampai ke satu peringkat dianggap mencampuri urusan-urusan pentadbiran.
“Saya hormati pandangan Tuanku dan Tunku Mahkota (Johor), saya pun bukan asing di negeri Johor.
“Sebaik mungkin kita nak pastikan, supaya segala keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Pusat ada kebaikan diterima dan tidak disalah anggap atas sebab-sebab tertentu,” katanya tahun lalu.
Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan kerajaan Johor membuat pusingan U mengekalkan had umur belia pada usia 40 tahun, selepas bersetuju menurunkan had itu kepada 30 tahun.
Ketika itu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang antara lain untuk menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.
RUU itu diluluskan selepas dibahaskan 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang hampir lima jam.
Sumber Berita Berkaitan :