Muhyiddin “kunci mulut” selepas bertemu presiden-presiden parti dalam PN
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan Hotel Hilton di Bangsar selepas mengadakan pertemuan lebih empat jam dengan ketua-ketua parti kerajaan Perikatan Nasional (PN) di sini.
Beliau yang beredar dari hotel tersebut pukul 5 petang sempat melambai kepada pengamal media yang menunggu bagi membuat laporan berkenaan pertemuan tersebut.
Muhyiddin berlalu tanpa mengucapkan sepatah perkataan ketika ditanya wartawan yang ingin tahu intipati perbincangan dalam pertemuan yang berlangsung.
Tindakan sama turut diambil oleh ketua-ketua parti yang lebih selesa mengunci mulut daripada berkongsi dengan media berhubung pertemuan yang diadakan itu.
“Ini adalah pertemuan biasa dengan ketua whip. Ia adalah perjumpaan dengan ahli anggota pimpinan kerajaan, itu sahaja,” katannya yang merupakan Ketua Whip PN.
Terdahulu, Perdana Menteri yang tiba seawal pukul 12.20 tengahari mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua parti dalam kerajaan PN.
Ia kemudian disusuli dengan satu lagi agenda iaitu pertemuan dengan ketua-ketua whip.
Sebelum itu beberapa pemimpin parti seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba lebih awal.
Ia kemudiannya diikuti dengan kehadiran, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaren; Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffry Kitingan; Presiden PBRS, Datuk Seri Panglima Joseph Kurup; Presiden SAPP, Datuk seri Panglima Yong Teck Lee dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Sumber: MalaysiaGazette