Muhyiddin menipu, kerajaannya terus lindungi bank daripada rakyat sendiri

Muhyiddin menipu, kerajaannya terus lindungi bank daripada rakyat sendiri

Seorang Ahli Parlimen menuduh kerajaan lebih mementingkan “taukeh-taukeh” berbanding rakyat berhubung keengganannya mengarahkan bank melaksanakan moratorium automatik.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz baru-baru ini dilaporkan berkata, rakyat mengeluarkan kira-kira RM78 bilion daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka melalui program i-Sinar dan i-Lestari.

“Kini, seramai 2.6 juta ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000 dalam akaun 1 selepas pengeluaran ini,” kata beliau dalam kenyataan.

“Situasi ini membuktikan rakyat begitu terdesak, terutamanya apabila kurangnya bantuan kerajaan sehingga terpaksa menggunakan wang yang sepatutnya disimpan untuk hari tua.”

Sim berkata, walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 bermula 12 Mei lalu, kerajaan gagal mengumumkan sebarang bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi terjejas.

Bantuan paling asas yang diumumkan semasa PKP 1.0 adalah moratorium pembayaran balik pinjaman bank secara automatik untuk tempoh enam bulan, tambahnya.

Beliau berkata, walaupun moratorium mengakibatkan ban rugi RM6.4 bilion, 10 bank utama negara tetap mencatatkan keuntungan sebanyak RM22 bilion tahun lalu.

Katanya, pada 2019, sektor perbankan secara keseluruhannya mencatatkan keuntungan RM36 bilion.

“Jika rakyat begitu terdesak sehingga terpaksa berbelanja RM78 bilion wang simpanan hari tua, mengapa kerajaan tidak sanggup mengarahkan sektor perbankan yang untung berpuluh-puluh bilion ringgit membelanjakan RM6.4 bilion demi meringankan beban hidup yang begitu berat dalam wabak Covid-19 dan kemelesetan ekonomi ini?” – FMT