Muhyiddin wajar dedahkan tujuan sebenar JK Darurat ditubuhkan

Muhyiddin wajar dedahkan tujuan sebenar JK Darurat ditubuhkan

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang masih berdiam diri berhubung persoalan sama ada Kabinet ataujawatankuasa khas bebas yang bertindak menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat.

Katanya, meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan telah memberi penjelasan berkaitan perkara itu, ia belum memadai tanpa penegasan Muhyiddin.

“Ini tidak memadai selagi Muhyiddin terus berdiam diri, sama ada Jawatankuasa Bebas Khas Darurat adalah satu-satunya badan yang berhak untuk menasihati Yang di Pertuan Agong mengenai perkara ini, dan bukannya Kabinet, atau mana-mana menteri.

“Saya menasihati seluruh 19 ahli jawatankuasa yang diketuai Arifin Zakaria untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri dan mendapatkan jaminan daripadanya, bahawa jawatankuasa khas dan bukan Kabinet atau menteri yang akan menasihati Yang di- Pertuan Agong mengenai sama ada darurat perlu dilanjutkan,”

“Saya mencadangkan supaya kesemua 19 Ahli jawatankuasa ini yang diketuai Arifin Zakaria untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri dan mendapatkan jaminan daripadanya bahawa jawatankuasa ini – bukan Kabinet atau mana-mana menteri – yang akan menasihati baginda mengenai penamatan atau pelanjutan perintah darurat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Lim, perkara itu tidak akan dimuktamadkan jika kerajaan masih ‘flip flop’ berhubungnya.

Semalam, Takiyuddin berkata kerajaan tetap mengiktiraf Jawatankuasa Bebas Khas Darurat yang dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Takiyuddin berkata, kenyataan medianya berhubung peranan kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan perisytiharan darurat telah dipetik di luar konteks.

Dia juga berkata kerajaan juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sebaliknya memberikan sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa ini dapat melaksanakan fungsinya.

Dalam pada itu Lim berkata, berdasarkan pemahamannya berhubung kenyataan Takiyuddin sebelum ini, penentuan sama ada darurat dilanjutkan atau tida adalah Kabinet, bukannya jawatankuasa khas berkenaan.

Katanya lagi, Takiyuddin hanya menjelaskan yang kerajaan tidak masuk campur dalam urusan jawatankuasa tersebut.

“Daripada pandangan Takiyuddin, sama ada jawatankuasa bebas ini memberikan nasihat atau pun tidak, tidak membawa apa-apa perbezaan dan tidak relevan kerana Kabinet atau mana-mana menteri yang dilantik yang akan mempunyai kata putus atas perkara ini.

“Sekiranya Muhyiddin tidak bersedia untuk memberikan jaminan kepada Jawatankuasa Bebas Khas Darurat bahawa hanya nasihat mereka yang akan menjadi kata pemutus, maka lebih baik dibubarkan sahaja jawatankuasa ini,” katanya lagi.

Sumber: https://m.malaysiakini.com/news/578831