Mujahid sedia pikul tanggungjawab lebih besar terajui AMANAH

Mujahid sedia pikul tanggungjawab lebih besar terajui AMANAH

 

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sedia memikul tanggungjawab lebih besar sekiranya nama beliau tersenarai lima yang menerima sokongan tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi sesi 2023-2026i.

Naib Presiden AMANAH itu bagaimanapun menyerahkan urusan pemilihan itu sepenuhnya kepada 27 pimpinan utama untuk menentukan lima kedudukan tertinggi parti menerusi konsep rundingan bersama.

Ini kerana, katanya, berdasarkan sistem diamalkan AMANAH, tiada pertandingan satu lawan satu bagi lima jawatan tertinggi itu meliputi presiden, timbalan presiden atau tiga naib presiden seperti yang diamalkan parti politik lain termasuk PAS.

“Jadi tiada guna saya beritahu saya mahu jadi (bertanding) presiden atau sebagainya… kita (AMANAH) bukan bertanding untuk jawatan, tetapi mahu menjadi lima tertinggi yang mendapat sokongan.

“Keadaan sekarang pramatang untuk saya katakan mahu jawatan presiden atau lain-lain, kerana seseorang itu tidak mungkin mendapat tertinggi atau sekurang-kurangnya 17 (sokongan selamat) daripada keseluruhan 27 pimpinan utama itu.

“Jadi perlu menang undian daripada 27 itu dahulu, baru berdepan cabaran untuk mencalonkan diri bagi mendapatkan (konsensus) rundingan bersama,” katanya ketika ditanya mengenai hasratnya bertanding jawatan utama kepemimpinan AMANAH.

Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang Media di Restoran Rebung Chef Ismail, Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Seri Wong Chun Wai.