Muka naik ruam setiap kali jumpa, dakwa allergic dengan boyfriend

Muka naik ruam setiap kali jumpa, dakwa allergic dengan boyfriend

 

Seorang wanita di Massachusetts mendakwa bahawa dia mendapati dirinya alah kepada teman lelakinya selepas mukanya dinaiki ruam setiap kali bersama dengan pasangannya itu, lapor New York Post.

Video pendedahan wanita itu telah tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi.

Pendedahan itu sekaligus telah mengundang pelbagai tohmahan yang menyatakan bahawa teman lelakinya itu mungkin sedang berselingkuh dengan wanita lain.

Menerusi sebuah kenyataan, wanita itu menerangkan bahawa kejadian tersebut berlaku disebabkan ada sesuatu pada teman lelakinya yang mencetuskan keadaan berkenaan.

“Ada sesuatu padanya yang membuatkan saya mempunyai reaksi ini,” kata Virginia Nault, 22, kepada Kennedy News.

Kejadian itu dilaporkan bermula pada Disember 2022 selepas warga Boston itu mula berpacaran dengan seorang lelaki bernama Steve Johnson yang ditemuinya di aplikasi Bumble.

Nault dikatakan menghabiskan hujung minggu bersama Steve tanpa menyedari bahawa dia akan menjadi seperti itu selepas bermalam di flat Steve di Boston.

Selepas enam bulan, Nault baru menyedari bahawa kejadian itu dipercayai berpunca daripada teman lelakinya.

“Kami menyedari bahawa selepas saya menghabiskan beberapa hari di apartmennya, saya akan mendapat ruam yang sangat teruk pada minggu selepas itu. Ia sangat sengsara selama beberapa hari selepas itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, gadis tersebut menyedari bahawa kulitnya akan bertambah baik pada pertengahan minggu selepas menghabiskan hujung minggu bersama Johnson.

Nault akhirnya mendapat kesimpulan bahawa dia mengalami alahan teruk daripada teman lelakinya.

“Saya alah kepadanya. Sesuatu di apartmennya, produk badan atau sesuatu yang dia gunakan,” kata Nault lagi.

Untuk menguji teorinya, Johnson dilaporkan telah menukar detergen dobi, peralatan mandian dan cologne. Tetapi malangnya gejala itu masih berlanjutan dan tiada perubahan.

“Dia begitu sabar dan menyokong segala-galanya, dan dia juga kecewa seperti saya,” kata Nault sambil berkongsi komitmen teman lelakinya itu.

Walaupun telah mendapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar dermatologi dan dua pakar alahan serta pakar oftalmologi, kejadian itu masih tidak berubah.

Pada satu ketika, Nault mendakwa bahawa dia mengalami reaksi yang buruk sehingga dia dimasukkan ke bilik kecemasan dan terpaksa memakai antihistamin dan steroid.

Pasangan itu dikatakan sedang cuba menyelesaikan masalah tersebut dan kini sedang menunggu dua keputusan ujian berkenaan keadaannya itu.

“Satu ujian yang saya peroleh minggu ini ialah ujian alam sekitar dan ujian yang saya peroleh minggu depan ialah ujian produk dan ramuan.

“Pada ketika ini, kami telah mengecilkan puncanya sedikit. Kami tahu ia bukan syampu, detergen atau perapinya,” Jelas Nault lagi.

Selain itu, Nault juga berharap agar keputusan ujian tersebut dapat mengetahui punca dan dapatkan mengurangkan gejala tersebut di masa hadapan.