Muktamar Pas, kumpulan pro Hadi menang besar

Muktamar Pas, kumpulan pro Hadi menang besar

Presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang terus mengukuhkan cengkamannya di dalam parti tersebut selepas keputusan pemilihan bagi jawatan Naib Presiden dan jawatankuasa kerja pusatnya diumumkan sebentar tadi.

Seperti diduga, menteri agama Idris Ahmad terus diberi kepercayaan oleh perwakilan sebagai Naib Presiden dengan mencatatkan rekod undi tertinggi keseluruhan perwakilan sebanyak 1164 undi diikuti Nik Amar dan ‘anak emas’ Hadi, Samsuri Mokhtar yang juga MB Terengganu.

Selain itu, anak Hadi, Khalil juga mendapat undi tertinggi bagi pemilihan jawatankuasa kerja parti sementara mereka yang dikaitkan ‘penjaga Hadi’ seperti Kamaruzzaman, Riduan Mat Nor dan Khairil Nizam turut memperolehi undi 5 teratas.

Corak pemilihan Pas kali ini juga dilihat tidak banyak berubah dengan para perwakilan dilihat memberi isyarat jelas kepada penentang Hadi agar jangan cuba mengkhianati parti dengan mengulangi perkara yang sama pernah dilakukan oleh ‘Jebon PAN’ sebelum ini.

Apa yang lebih menarik, gelombang sokongan tidak berbelah bahagi perwakilan terhadap kepimpinan Hadi pastinya menjadi satu azimat penting tatkala berdepan ‘perang’ dengan UMNO selepas partinya memilih untuk bertanding bersama Perikatan Nasional dalam PRN Melaka, bukannya UMNO yang bersama-sama mewujudkan Muafakat Nasional sebelum ini.