“Mungkin mereka dari kalangan yang..” – Ryan Bakery nafi mempersenda Kakitangan Kesihatan di TikTok

Isnin lalu, TikToker Ryan Bakery menerbitkan video ragam pekerja kaunter di klinik yang sering berlaku, membuatkan ramai netizen yang respon pada video berkenaan.
Dalam video pendek itu, Ryan yang melakonkan watak kakitangan di kaunter klinik dilihat tidak begitu mesra dengan kedatangan orang awam yang mendapatkan rawatan di premis tersebut.
Mimik wajahnya yang bersahaja dan seolah-olah malas melayani orang awam, membuatkan ramai netizen mengakui mereka pernah melalui situasi yang sama
@ryanbakery
Bagi kebanyakan orang, video itu melucukan dan dianggap sebagai hiburan ringan semata-mata. Tetapi ada segelintir individu yang berasa kurang senang dan menganggap pencipta kandungan popular itu cuba mempersenda kakitangan kesihatan.
Dalam temubual bersama Media Hiburan, Ryan menyedari perkara itu tetapi menjelaskan bahawa dia sememangnya menerbitkan video-video ragam masyarakat. Tidak pernah terlintas niat untuk menyerang mana-mana pihak seperti yang didakwa.
“Saya memang dari dulu bawa ragam masyarakat. Bukannya kita serang sektor kesihatan. Habis tu kalau saya buat content berniaga, saya jatuhkan sektor perniagaan? Tidak.
“Apa yang saya buat ini berkenaan dengan ragam manusia atau individu berdasarkan pengalaman saya berjumpa dengan orang. Dan saya jadikan perkara itu sebagai hiburan semata-mata.
“Ada orang mesej beri teguran, tapi saya beri penjelasan bahawa saya bukan berniat hendak menghina atau apa pun. Saya hanya suka melakonkan semula ragam-ragam manusia,” ujarnya.