Murid dan guru semakin terbeban dengan arahan terbaharu KPM

Murid dan guru semakin terbeban dengan arahan terbaharu KPM

Kementerian Pendidikan mengingatkan pihak sekolah supaya terus memperketat prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pada masa sama ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak supaya menitik berat SOP sepanjang berada di sekolah.

Beliau berkata, pihaknya akan merujuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapatkan sebarang pandangan dan langkah yang perlu diambil jika wujud sebarang masalah berkaitan COVID-19.

“Dalam konteks COVID-19, seperti saya jelaskan sekiranya berlaku apa-apa, kita merujuk kepada Pusat Kesihatan Daerah kerana pihak berkenaan lebih pakar.

“Apa saja pandangan, kita di Kementerian Pendidikan (KPM) akan mematuhi nasihat berkenaan demi keselamatan anak-anak.

“Apa yang penting, ibu bapa harus mengingatkan anak-anak mematuhi SOP. Kami juga memberi penekanan pematuhan ini kepada seluruh warga sekolah termasuk guru,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Gerakan Masa: ‘Terima Kasih Cikgu” sempena Sambutan Tema Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-50 Tahun 2021, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, pihaknya mengakui sekarang waktu sukar untuk warga KPM namun pihaknya berjaya menghadapinya dengan baik.

“Ini satu masa yang sukar, namun Alhamdulillah kita melihat bagaimana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar apabila SOP dipatuhi dengan baik.

“Pada masa sama, kita dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan selamat,” katanya. – BH