Murid perempuan 7 tahun dakwa dicabul oleh guru Bahasa Melayu

Murid perempuan 7 tahun dakwa dicabul oleh guru Bahasa Melayu

 

Di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, seorang guru berusia 56 tahun berdepan pertuduhan melakukan amang secara seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan darjah dua pada April tahun lalu.

Murid perempuan

Menurut laporan Harian Metro, tertuduh yang merupakan guru bahasa melayu di sebuah sekolah kebangsaan mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dengan niat seksual melakukan amang berkenaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 7 tahun 11 bulan di dalam kelas sebuah sekolah di Jelawat, Bachok antara jam 7.40 pagi hingga 9.40 pagi pada bulan April 2022.

Susulan daripada itu, tertuduh didakwa merujuk Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan di mana tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat serta tidak mengganggu mangsa. Malah, mahkamah menetapkan tarikh 11 April bagi sebutan semula kes.