Murid perempuan maut digilis treler ketika pulang dari sekolah
Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas motorsikal yang diboncengnya bersama jiran dilanggar treler di Jalan Tengah, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, hari ini.
Turut terlibat dalam kemalangan tersebut adalah adik lelakinya berusia 7 tahun yang mengalami kecederaan ringan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Morni Mamat berkata, mangsa yang berusia 9 tahun meninggal dunia, manakala pengasuh yang juga iran iiatu seorang wanita berusia 54 tahun termasuk adik lelakinya mengalami kecederaan.
“Kemalangan membabitkan treler yang melanggar motosikal yang dinaiki tiga mangsa termasuk dua kanak-kanak.
“Pengasuh dan kanak-kanak lelaki tersebut masing-masing cedera ringan, manakala kanak-kanak perempuan maut di lokasi kejadian,” katanya.
Morni berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.25 pagi dan sepasukan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang digegaskan ke lokasi kejadian.
Difahamkan pengasuh kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut mengambil mereka dari sekolah dan dalam perjalanan pulang ke rumah.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, manakala pengasuh dan adik lelaki mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.