Musa Hassan kahwin lagi

Musa Hassan kahwin lagi

 

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bernama Qistina Lim, di sebuah hotel di Shah Alam, malam tadi.

Berita itu dikongsikan oleh individu yang dipercayai adiknya, Mohammad Izzat Hassan, dalam hantaran di Facebooknya yang memaparkan gambar persandingan, keluarga dan tetamu yang hadir di majlis resepsi perkahwinan itu.

Dalam keterangan gambar yang dikongsi dalam hantaran di media sosial itu, Mohammad Izzat menyatakan kesyukuran dan tahniah kepada abang sulungnya.

“Syukur alhamdulillah dan tahniah, Tan Sri Musa Hassan dan Puan Sri Qistina Lim, anda (Musa) sentiasa menjadi idola, penasihat, pemimpin dan abang kepada saya,” katanya.

Musa sebelum ini dilaporkan berpisah dengan isterinya, Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, selepas memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah pada 30 Mac lalu.

Permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, pendakwah selebriti, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar turut membuat siaran langsung di Facebook yang berdurasi dua minit 18 saat berkaitan majlis resepsi itu.

“Majlis Perkahwinan Tan Sri Musa Hassan & Puan Sri Qistina Lim,” katanya.