Musa Hitam : Ahli politik Malaysia mulai jadikan ‘ideologi wang’ teras perjuangan
Ahli politik di negara ini tidak lagi memikirkan soal falsafah dan ideologi, sebaliknya hanya mementingkan soal sokongan untuk kelangsungan hayat politik, menurut bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam.
Menurut Musa, kejadian lompat parti juga terlalu banyak sehingga ia menjadi jenaka dengan ahli politik yang berbuat demikian digelar sebagai “katak”.
“Sekarang, seorang pun tak cenderung soal falsafah dan ideologi politik, tiada. Sebaliknya, masing-masing sibuk soal berapa kerusi mereka dapat, dan siapa akan berpihak kepada siapa. Orang belah sini akan lompat ke sana, itu sahaja isunya sekarang.
“Daripada Dr Mahathir Mohamad, sampailah kepada Muhyiddin Yassin, kepada Anwar Ibrahim, kepada semua. Malah dalam sibuk-sibuk politik ini, Rina Harun pun masuk sekali,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia yang hari ini.
Sejak penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac tahun lalu, beberapa usul undi percaya dan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Bagaimanapun setakat ini ia belum dibahaskan di Parlimen.
Sehingga kini, majoriti sokongan terhadap Muhyiddin terus dipersoalkan, lebih-lebih lagi dengan penarikan sokongan beberapa ahli Parlimen Umno awal tahun ini.
Pada masa sama, dua ahli Parlimen PKR iaitu Larry Sng dan Steven Choong baru-baru ini mengumumkan keluar parti untuk menyokong Muhyiddin.
Musa yang kini Pengerusi World Islamic Economic Forum Foundation (WIEF) berkata, dia bosan melihat keadaan ini.
“Ada sekali, saya cakap apalah kamu semua ini wahai ahli politik, macam main masak-masak sahaja kamu buat politik ini. Politik ini mereka buat main-main, untuk diri sendiri. Mereka tak berpolitik untuk kepentingan negara, sebaliknya untuk survival sendiri,” katanya lagi.
Dia juga berkata pihak yang melompat parti bukan berbuat demikian atas sebab politik atau ideologi dan menggesa undang-undang yang dapat menghalang perkara itu dibuat.
“Kalaulah sesuatu itu boleh dianggap sebagai ideologi, dengan dapat duit itu ideologi wang, itulah yang mungkin sebenarnya sedang terjadi.
“Di Malaysia ini adalah antara negara yang mana terlampau banyak ahli politik melompat parti. Hingga ia jadi satu jenaka, kita gelarkan yang melompat itu sebagai katak,” katanya lagi. – MK