MYAirline umum gantung operasi serta-merta berkuat kuasa hari ini, akui berdepan masalah kewangan

Syarikat penerbangan murah, MyAirline yang mula beroperasi November tahun lalu hanya mampu bertahan hampir setahun.
Berkuat kuasa hari ini, syarikat ini mengumumkan terpaksa menggantung operasi mereka dan mengakui berdepan masalah kewangan.
MYAirline Umum Gantung Operasi Berkuat Kuasa Hari Ini
Dalam pengumuman rasmi yang dikongsi di facebook mereka, syarikat itu memaklumkan menggantung operasi mulai 12 Oktober dan penggantungan tersebut akan berlanjutan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Akui Berdepan Masalah Kewangan
Menurutnya, tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.
“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.
“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai perkongsian dan pilihan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini. Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada alternatif selain mengambil keputusan ini.
“Kami memahami kesulitan yang mungkin timbul dan kami komited untuk membantu anda melalui situasi ini. Sila hubungi kami di [email protected], dan pasukan sokongan kami akan sedia untuk memberikan bantuan mereka.
”Sementara itu, kami menasihatkan penumpang yang terjejas supaya tidak pergi ke lapangan terbang dan mencari pengaturan perjalanan alternatif ke destinasi mereka,”kata ahli Lembaga Pengarah dalam kenyataan tersebut.
Lembaga Pengarah, pemegang saham dan kami semua di MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.
“Kami mengulangi permohonan maaf yang setulus-tulusnya atas sebarang kesulitan dan kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk menyediakan sebarang kemas kini yang tersedia,” kata mereka.