Nafi dirinya ditahan, Muhyiddin mengaku ke SPRM esok

Nafi dirinya ditahan, Muhyiddin mengaku ke SPRM esok

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau diminta ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis.

Dalam satu kenyataan di Facebooknya, Muhyiddin turut menyangkal dakwaan beliau ditahan oleh agensi itu sewaktu berada di padang golf.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan keberadaannya di dalam beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan bermula pada Jumaat.

“Esok (Khamis) saya diminta ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 11 pagi. Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.

“Hari ini, saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang akan bermula Jumaat ini,” katanya.

Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengesahkan beliau dipanggil memberi keterangan kepada SPRM bukannya sebagai suspek.

Menurutnya, agensi penguatkuasaan itu memintanya memberikan penerangan berhubung program Jana Wibawa.