Nafi sudah tertidur, Tajuddin dakwa lewat dimaklumkan insiden kemalangan LRT

Nafi sudah tertidur, Tajuddin dakwa lewat dimaklumkan insiden kemalangan LRT

Pengerusi Prasarana, Tajuddin Abdul Rahman, mempertahankan tindakannya melawat lokasi tren LRT bertembung hanya pagi tadi, menegaskan beliau terima laporan kejadian “agak lewat” semalam.

Beliau kesal dengan kritikan segelintir pihak yang mempersoalkan mengapa beliau tidak kelihatan di lokasi kejadian semalam, sedangkan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong, turun ke lokasi walaupun lewat malam.

“Semalam pun menteri dah turun. Semua ada di sana. Jangan lah suka ‘provoke’, apa gunanya?” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah, manakala 166 mengalami kecederaan ringan dalam pertembungan dua tren LRT dalam terowong, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya.

Ketua Polis Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, berkata tren dari Gombak (menghala ke Kelana Jaya) membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya (menghala ke Gombak) tidak membawa penumpang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat.

Mengenai gambar tular di media sosial bahawa tiada penjarakan fizikal dalam gerabak LRT pagi tadi, Tajuddin menegaskan ia gambar lama ketika perintah kawalan pergerakan 2.0.

“Ketika itu kerajaan benarkan pengangkutan awam dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh,” katanya.

Tajuddin menambah penandaan penjarakan fizikal sudah dibuat di stesen dan dalam tren.

“Macam mana boleh penumpang berpusu-pusu masuk ke dalam?” soalnya, menyanggah tuduhan terhadap penumpang LRT.

Dalam pada itu, ketika ditanya situasi terkini mengenai gerabak yang terbabit dalam kemalangan, beliau berkata keadaan operasi tren terkawal dan berjalan seperti biasa.

“Laluan LRT tiada masalah. Ia normal, ‘only two cars kissed each other’ (hanya dua kenderaan bertembung sesama sendiri),” katanya. – FMT