Naib Ketua Pemuda UMNO bantah usaha Asyraf perjuangkan pengeluaran i-Citra
Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan hari ini membuat kenyataan mengejutkan apabila menolak perjuangan ketuanya, Asyraf Wajid Dusuki dalam mendapatkan kelulusan kerajaan mengizinkan pengeluaran i-Citra.
Menurutnya yang dilantik sebagai Pengarah Ekonomi kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri baru-baru ini menyifatkan pengeluaran wang simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga merupakan satu konsep pinjaman, walaupun berbeza dari pinjaman dari bank atau institusi kewangan.
Perbezaannya ialah KWSP merupakan pinjaman dari masa depan sendiri, tambahnya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.
“Semua maklum bahawa pinjaman dari bank atau institusi seperti Tekun perlu dibayar semula. Dalam kes ini, hanya perlu bayar semula amaun pokok sahaja sebab tiada caj faedah.
“Namun, pengeluaran KWSP juga adalah konsep meminjam iaitu meminjam dari masa depan sendiri. Kosnya ialah lima atau enam peratus setiap tahun, iaitu pendapatan dividen KWSP setiap tahun.
“Jika kita keluarkan RM10,000, dalam masa lima tahun sahaja sudah rugi hampir RM3,000 kerana terlepas pendapatan dividen yang dikompaun dari tahun ke tahun.
“Dalam masa 10 tahun, hampir RM7,000 pendapatan yang sepatutnya ada, sudah tiada,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Situasi ini berbeza dengan suntikan dana fiskal seperti BR1M, Bantuan Khas Covid-19 (BKC), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) atau bantuan banjir yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
“Soal sama ada kerajaan patut membenarkan lagi pengeluaran (KWSP) setelah hampir RM20,000 melalui skim-skim sebelum ini sudah dibahaskan dan dijelaskan dari sudut makro.