Najib dakwa PLUS buat untung berlipat ganda melalui RFID

Najib dakwa PLUS buat untung berlipat ganda melalui RFID

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dijual terlalu mahal sehingga mencecah RM35 sekeping walaupun kos sebenar hanya kurang RM1.

Najib menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini turut menimbulkan persoalan sama ada Touch N Go (TnG) atau PLUS memberi rebat bagi pemilik SmartTAG yang tidak lagi berfungsi sekiranya plaza tol beralih kepada sistem RFID sepenuhnya.

“Adakah syarikat TnG atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik SmarTAG yang tidak berfungsi lagi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID?

“Syarikat TnG dimiliki bank CIMB, Ant Group dari China, syarikat insurans AIA Group dari Amerik Syarikat dan firma pelaburan Bow Wave Capital dari New York,” kata Najib hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, transaksi tol menggunakan tag RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 10 malam.

Sumber – UtusanOnline