Najib gesa kabinet naikkan harga Ron95

Najib gesa kabinet naikkan harga Ron95

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesyorkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan harga minyak RON95 sebanyak 10 sen atau 20 sen.

Memetik laporan Sinar Harian, dia berkata, ini kerana pemberian subsidi minyak petrol secara pukal yang dilaksanakan ketika ini yang bertujuan untuk membantu golongan B40 dan M40 turut memanfaatkan golongan kaya atau T20.

“Saya bukan ‘fans’ bagi subsidi pukal sebab sistem subsidi di negara ini lebih memanfaatkan orang kaya. Menteri Kewangan hari ini pun dah faham.

“Penurunan 65 peratus jualan RON97 juga merupakan bukti bahawa bahagian besar orang kaya dan orang yang berkemampuan telah bertukar minyak ke RON95 untuk menikmati subsidi kerajaan. Ibarat orang kaya ambil makanan dari ‘food bank’,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Jelasnya, kerajaan ketika ini memberi subsidi sekitar RM2.50 bagi setiap satu liter RON95 yang dijual pada harga RM2.05, sekali gus menjadikan harga minyak RON95 Malaysia adalah antara 10 paling murah di dunia dan jauh lebih murah banding Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Bermaksud jika seorang dari golongan T20 mengisi 50 liter minyak RON95 bagi kereta mewahnya, kerajaan sebenarnya memberi subsidi sebanyak RM125 setiap kali orang kaya isi minyak.

“Sekiranya orang kaya ini isi minyak tiga kali sebulan bermaksud kerajaan memberi bantuan RM4,500 setahun bagi orang kaya dan ia lagi tinggi berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada B40 dan M40,” katanya.

Tambah Najib, masalah ketidakadilan dalam pemberian subsidi minyak ini pernah diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbirannya dengan mengapungkan harga minyak.

“Penjimatan dari ini pula disalurkan kepada pemberian BR1M yang dinaikkan dan diperluaskan jumlah penerima dari RM500 ke RM1,200 dan akhirnya ke RM2,000 setahun pada masa PRU14,” katanya.

Namun katanya, melihat kadar inflasi yang tinggi yang dialami seluruh dunia sekarang, ianya tidak sesuai untuk kita tarik subsidi minyak secara sepenuhnya pada ketika ini.

Sementara itu, Najib dalam masa turut mencadangkan supaya kerajaan menaikkan duti eksport cukai durian runtuh bagi sektor minyak sawit memandangkan dunia masih kekurangan bekalan dan harganya tinggi.

Ini kerana katanya, ia dibayar oleh pembeli yang merupakan orang asing dan juga syarikat perladangan besar, bukannya dibayar oleh peneroka.

“Penjimatan subsidi 10 sen atau 20 sen bersama hasil tambahan cukai sawit serta penjimatan dari tidak lagi memberi subsidi untuk ayam dan telur boleh disalurkan untuk diberi sebagai bantuan tunai kos sara hidup bagi golongan B40 dan T40 setiap 3 bulan selagi kadar inflasi masih tinggi.

“Orang T20 tak kisah dan tak terkesan jika harga makanan tinggi tapi ianya merupakan tekanan yang besar bagi golongan B40 dan sebahagian besar golongan M40,” katanya.