Najib mungkin cipta sejarah jadi banduan pertama yang terima bayaran elaun tinggi daripada kerajaan

Najib mungkin cipta sejarah jadi banduan pertama yang terima bayaran elaun tinggi daripada kerajaan

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun hari ini mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak yang baru-baru ini menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi pertuduhan rasuah, memfailkan petisyen pengampunan di bawah Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan.

Dalam sebuah kenyataan yang dilaporkan portal MalaysiaNow, Azhar berkata beliau menerima petisyen itu pada 1 September melampirkan salinan surat dari Tetuan Shafee & Co bertarikh 1 September 2022 mengesahkan diaku terima oleh ketua pengarahan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

“Mengikut Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan, mana-mana ahli Parlimen yang disabitkan atas kesalahan oleh mahkamah di persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau didenda sebanyak tidak kurang dari RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

“Kuat kuasa Perkara 48(1)(e) adalah tertakluk kepada peruntukan Perkara 48(4) dan Perkara 53(2).”

“Dalam hal ini, perkara 48(4)(c) memperuntukkan bahawa sekiranya satu petisyen pengampunan difailkan oleh ahli Parlimen yang berkenaan dalam masa 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan ahli Parlimen berkenaan hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan dibereskan.”

Azhar berkata memandangkan Najib memfailkan petisyen pengampunan pada 2 September, maka beliau akan kekal sebagai ahli Parlimen.

“Ini bermakna status Najib sebagai ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan hanya akan dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan itu dibereskan.”